Tuesday, June 24, 2008

MELAYU MESTI MUAFAKAT

Melayu mesti kuat dan jangan melupakan jasa generasi lama sehingga menjadi Si Tanggang lalu bersifat angkuh, bongkak dan sengaja mengasingkan diri daripada akar bangsa.
Bahkan tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas tempat bergantung. Begitu titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ketika merasmikan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) baru-baru ini yang membuat saya teruja untuk memberikan pandangan.
Sesungguhnya, sejarah perjuangan orang Melayu memang sering seperti onak dan duri dan kiambang bertaut apabila biduk berlalu. Ia sudah menjadi asam garam kehidupan orang Melayu. Orang Melayu kononnya akan bersatu apabila ketuanan Melayu tercabar dan kedaulatan raja tercemar.
Apakah ini benar dan mampukah Melayu bertaut seperti kiambang selepas biduk berlalu?
Apakah budaya perjuangan kita memungkinkan kita bersatu jika soal mencari kemewahan dan kegilaan terhadap pangkat dan status menjadi asas perjuangan? Bolehkah orang Melayu menjadi kuat lagi mempunyai jati diri tinggi jika ekonomi masih dikuasai kaum lain? Di manakah jihad ekonomi kita? Siapakah yang mengkhianati bangsa dan menjadi pembelot agama, yang seolah-olah bercakap benar tetapi hakikatnya menjadi musang berbulu ayam sekali gus ibarat sokong membawa rebah.
Yang pasti, orang Melayu kini berpecah tidak tentu pasal akibat pemikiran kita yang jumud, falsafah hidup dan perjuangan yang bersimpang siur lagi berkecamuk. Akibatnya, kita hilang pedoman, bertikam lidah sesama sendiri dan berjuang tanpa pemikiran dan falsafah jelas. Kita sudah hampir menjadi musafir di bumi sendiri akibat ideologi dan perjuangan tidak bertempat. Apakah ini jihad politik atau jihad membela ketaksuban pemimpin yang pasti membawa rebah? Kita bermusuh dan berkawan dengan rela tanpa usul periksa sama ada pakatan benar-benar tulen atau ada agenda tersembunyi?
Justeru, insaflah wahai orang Melayu bahawa jika kita mengkhianati perjuangan datuk nenek kita yang bermandi darah berjuang memerdekakan tanah air dari penjajah, maka janganlah kita sekali-kali menderhaka dan berlagak sombong serta lari dari perjuangan mempertahankan kepentingan Melayu.
Saya menyeru supaya kita bermuafakat tanpa kerenah dan melakar impian bersama agar orang Melayu perkasa, berjiwa besar sekali gus mempunyai jati diri tinggi. Jika tidak, kita akan menang sorak kampung tergadai.

PROF. MADYA MOHAMAD MD. YUSOFFUSM

No comments: