Memang agak lama saya tidak singgah dan menulis di rumah saya ini. Sibuk? Ya, saya memang agak sibuk kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi pada cuti sekolah yang lepas, saya berkursus selama seminggu dan kemudian pergi bercuti bersama keluarga selama seminggu lagi di negeri pantai timur dan ke Pulau Redang. Dua minggu tidak hadir ke pejabat, bermacam-macam pula perkara yang harus diselesaikan. Pening kepala tetapi tugas tetap tugas dan ia juga satu amanah yang diletakkan atas bahu kita.
Bercakap mengenai "kesibukan" saya percaya semua orang kata "saya memang seorang yang sibuk" tambahan bagi seorang wanita yang bekerja, telah menjadi seorang isteri dan ibu. Tugas kita bukan hanya di pejabat tetapi juga di rumah. Malah sebenarnya tugas kita lebih banyak di rumah. Kadang-kadang rasa macam tempoh 24 jam itu terlalu singkat berlalu. Sedar tidak sedar, bulan berganti begitu cepat dan tahun baru datang tanpa disedari. Anak semakin membesar dan mula pandai mempersoalkan itu ini dengan kedua ibu bapanya.
Bercakap mengenai anak pula, saya teringat semasa anak saya masih kecil. Apabila hendak keluar berjalan, senang saja. Dukung dan bawa dia masuk ke kereta. Dia akan mengikut sahaja tanpa bantahan, hanya rengekan manja yang memang menjadi halwa telinga yang sangat indah. Tetapi kini apabila hero itu sudah mula membesar, sudah bersekolah, banyak pula yang ditanyanya. "Nak ke mana ni mama?" nak ke kedai, jawabku. "Kedai mana? Nak beli apa?"
Kadang-kadang tak terjawab setiap persoalannya. Tetapi bagus bukan? Nampaknya anak kita telah membesar dengan baik dan hasil dari ilmu pengetahuan yang kita ajarkan kepadanya, menjadikan dia seorang yang boleh dan bijak berfikir untuk mengetahui sesuatu perkara yang dia ingin tahu.
Walau apapun, saya kini bahagia menjadi seorang isteri dan seorang ibu. Walau tanggungjawab dan tugas bertambah namun hati gembira dan lapang kerana setiap apa yang kita lakukan dengan ikhlas untuk suami dan anak, ALLAH telah menjanjikan ganjaran dan pahala yang besar buat kita. Walau tidak mampu menjadi yang terbaik, namun sehingga sekarang saya masih mencuba.
Wassalam
No comments:
Post a Comment