Tuesday, June 24, 2008

TANAH MELAYU

Saya memang tidak pandai berbicara mengenai politik atau isu-isu panas begini. Tetapi dari masa selepas pilihanraya ke-12 yang lepas sehingga kini, hati ini rasa begitu gelisah lebih-lebih lagi apabila pelbagai isu hangat dan mengejut sering dipaparkan di dada akhbar dan media massa. Kemenangan tipis UMNO, kemenangan mengejut pembangkang di lima buah negeri iaitu Perak, Selangor, Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah. Kenaikan harga minyak dan barang-barang keperluan lain. Pergolakan politik yang hebat dan permusuhan dan kecaman antara Tun Mahathir dan Pak Lah. Tindakan Tun Mahathir keluar dari UMNO dan berbagai-bagai lagi. Memang panas sehingga saya tidak betah untuk duduk dengan selesa. Bimbang dengan negara Tanah Melayu yang sememangnya milik orang-orang Melayu tetapi kaum lain mula menuntut hak sama rata walaupun mereka sedar (atau pura-pura tidak sedar) bahawa mereka dahulunya hanyalah pedangang di tanah melayu ini. Saya menyokong ucapan Yang Mulia Raja Dr. Nazrin Shah mengenai keadaan orang Melayu di Malaysia ini. Memang saya akui amat sedih melihat orang-orang Melayu di Malaysia sekarang ini yang majoritinya adalah orang Islam. Orang Islam bermusuhan dan kata mengata di antara satu sama lain dan berpecah belah. Sikap ini sebenarnya merugikan orang Melayu sendiri terutamanya dalam pilihanraya yang akan diadakan. Akhirnya nanti saya bimbang Malaysia ini akan jatuh ke tangan orang bukan Melayu yang memang kita tahu sedang menunggu-nunggu saat-saat itu terjadi.
Orang-orang Cina walau tinggal di Malaysia, mereka akan tetap bergabung dengan orang-orang Cina. Saya rasa kesannya sudah mula kelihatan di dalam pilihanraya yang ke-12 yang lepas. BN kalah kerana ramai orang Cina yang menyokong DAP iaitu parti yang majoritinya adalah untuk orang Cina dan mereka memperjuangkan nasib orang Cina dan orang Cina yakin DAP akan dapat melindungi hak mereka di Malaysia ini.
Sekarang ini orang Melayu telah berpecah kepada 3 kumpulan politik. UMNO, PAS dan KEADILAN. Bukalah mata wahai semua orang Melayu. Jika anda terus begini, maka tidak mustahil satu hari nanti negara kita akan jadi seperti negara Singapura. Dimiliki dan diketuai oleh orang Cina dan orang Melayu pula merempat di tanahair sendiri. Renungkanlah dan bayangkanlah jika ini terjadi. Apa yang akan terjadi pada anak-anak kita di masa hadapan? Takkan kita sanggup membiarkan mereka menderita dan hidup miskin di Malaysia sedangkan tanahair ini memang milik kita dan kita yang perlu mentadbirnya?

Fikir-fikirlah. Orang Melayu mesti bergabung dan kukuhkan semula benteng pertahanan kita. Orang lain boleh berjanji macam-macam seperti manifesto pilihanraya yang dibuat oleh pembangkang sebelum ini tetapi perlaksanaannya mengapa sehingga kini belum dilaksanakan? Kita bimbang, jika janji hanya tinggal janji. Dan yang merana adalah orang Melayu kerana hanya mampu melihat sahaja kejayaan demi kejayaan yang orang luar raih di tanahair kita sendiri.

MELAYU MESTI MUAFAKAT

Melayu mesti kuat dan jangan melupakan jasa generasi lama sehingga menjadi Si Tanggang lalu bersifat angkuh, bongkak dan sengaja mengasingkan diri daripada akar bangsa.
Bahkan tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas tempat bergantung. Begitu titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ketika merasmikan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) baru-baru ini yang membuat saya teruja untuk memberikan pandangan.
Sesungguhnya, sejarah perjuangan orang Melayu memang sering seperti onak dan duri dan kiambang bertaut apabila biduk berlalu. Ia sudah menjadi asam garam kehidupan orang Melayu. Orang Melayu kononnya akan bersatu apabila ketuanan Melayu tercabar dan kedaulatan raja tercemar.
Apakah ini benar dan mampukah Melayu bertaut seperti kiambang selepas biduk berlalu?
Apakah budaya perjuangan kita memungkinkan kita bersatu jika soal mencari kemewahan dan kegilaan terhadap pangkat dan status menjadi asas perjuangan? Bolehkah orang Melayu menjadi kuat lagi mempunyai jati diri tinggi jika ekonomi masih dikuasai kaum lain? Di manakah jihad ekonomi kita? Siapakah yang mengkhianati bangsa dan menjadi pembelot agama, yang seolah-olah bercakap benar tetapi hakikatnya menjadi musang berbulu ayam sekali gus ibarat sokong membawa rebah.
Yang pasti, orang Melayu kini berpecah tidak tentu pasal akibat pemikiran kita yang jumud, falsafah hidup dan perjuangan yang bersimpang siur lagi berkecamuk. Akibatnya, kita hilang pedoman, bertikam lidah sesama sendiri dan berjuang tanpa pemikiran dan falsafah jelas. Kita sudah hampir menjadi musafir di bumi sendiri akibat ideologi dan perjuangan tidak bertempat. Apakah ini jihad politik atau jihad membela ketaksuban pemimpin yang pasti membawa rebah? Kita bermusuh dan berkawan dengan rela tanpa usul periksa sama ada pakatan benar-benar tulen atau ada agenda tersembunyi?
Justeru, insaflah wahai orang Melayu bahawa jika kita mengkhianati perjuangan datuk nenek kita yang bermandi darah berjuang memerdekakan tanah air dari penjajah, maka janganlah kita sekali-kali menderhaka dan berlagak sombong serta lari dari perjuangan mempertahankan kepentingan Melayu.
Saya menyeru supaya kita bermuafakat tanpa kerenah dan melakar impian bersama agar orang Melayu perkasa, berjiwa besar sekali gus mempunyai jati diri tinggi. Jika tidak, kita akan menang sorak kampung tergadai.

PROF. MADYA MOHAMAD MD. YUSOFFUSM

Wednesday, June 18, 2008

Novel Baru

Sebenarnya hati saya dah lama teruja ingin menulis mengenai novel baru saya ini tetapi memikirkan selama ini ia hanya masih di peringkat perbincangan, saya pendamkan sahaja ia kejap-kejap di dalam hati. Hari demi hari, saya dapat rasakan impian saya semakin menjadi kenyataan. Rasanya semua sudah selesai, perjanjian juga telah ditandatangani. Saya hanya perlu menunggu beberapa bulan lagi untuk melihat ia berada di kedai buku dengan mata saya sendiri. Ah! memang sudah tidak sabar. Tetapi saya bimbang untuk menyatakan tajuk yang telah dipersetujui antara saya dan penerbit. Jadi...saya dan kawan-kawan yang menanti novel saya itu harus sabarkan diri lagi buat sementara waktu (saya harap).

Dan apabila tiba waktu itu, saya akan war-warkan ia di rumah saya ini dan saya harap akan menerima ulasan dan komen mengenainya.

Sekian,

Kesibukan

Memang agak lama saya tidak singgah dan menulis di rumah saya ini. Sibuk? Ya, saya memang agak sibuk kebelakangan ini. Lebih-lebih lagi pada cuti sekolah yang lepas, saya berkursus selama seminggu dan kemudian pergi bercuti bersama keluarga selama seminggu lagi di negeri pantai timur dan ke Pulau Redang. Dua minggu tidak hadir ke pejabat, bermacam-macam pula perkara yang harus diselesaikan. Pening kepala tetapi tugas tetap tugas dan ia juga satu amanah yang diletakkan atas bahu kita.
Bercakap mengenai "kesibukan" saya percaya semua orang kata "saya memang seorang yang sibuk" tambahan bagi seorang wanita yang bekerja, telah menjadi seorang isteri dan ibu. Tugas kita bukan hanya di pejabat tetapi juga di rumah. Malah sebenarnya tugas kita lebih banyak di rumah. Kadang-kadang rasa macam tempoh 24 jam itu terlalu singkat berlalu. Sedar tidak sedar, bulan berganti begitu cepat dan tahun baru datang tanpa disedari. Anak semakin membesar dan mula pandai mempersoalkan itu ini dengan kedua ibu bapanya.
Bercakap mengenai anak pula, saya teringat semasa anak saya masih kecil. Apabila hendak keluar berjalan, senang saja. Dukung dan bawa dia masuk ke kereta. Dia akan mengikut sahaja tanpa bantahan, hanya rengekan manja yang memang menjadi halwa telinga yang sangat indah. Tetapi kini apabila hero itu sudah mula membesar, sudah bersekolah, banyak pula yang ditanyanya. "Nak ke mana ni mama?" nak ke kedai, jawabku. "Kedai mana? Nak beli apa?"
Kadang-kadang tak terjawab setiap persoalannya. Tetapi bagus bukan? Nampaknya anak kita telah membesar dengan baik dan hasil dari ilmu pengetahuan yang kita ajarkan kepadanya, menjadikan dia seorang yang boleh dan bijak berfikir untuk mengetahui sesuatu perkara yang dia ingin tahu.

Walau apapun, saya kini bahagia menjadi seorang isteri dan seorang ibu. Walau tanggungjawab dan tugas bertambah namun hati gembira dan lapang kerana setiap apa yang kita lakukan dengan ikhlas untuk suami dan anak, ALLAH telah menjanjikan ganjaran dan pahala yang besar buat kita. Walau tidak mampu menjadi yang terbaik, namun sehingga sekarang saya masih mencuba.

Wassalam