Suruhanjaya ditubuh - Bagi kenal pasti, cadang nama calon hakim – PM
Oleh AMIRUDDIN HARUN dan NOR ZAINAH NORDIN
Oleh AMIRUDDIN HARUN dan NOR ZAINAH NORDIN
Abdullah Ahmad Badawi bersalaman dengan Tun Salleh Abas pada Majlis Makan Malam Badan-Badan Peguam di Kuala Lumpur malam tadi sambil disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad.
KUALA LUMPUR 17 April - Kerajaan mengumumkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk mengenal pasti dan mencadangkan calon-calon hakim kepada Perdana Menteri.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan perkara itu berkata, suruhanjaya tersebut akan membantu menilai dan menapis calon-calon secara sistematik dan berwibawa berasaskan kepada kriteria yang ditakrifkan dengan jelas.
Bagaimanapun katanya, hak perlembagaan Perdana Menteri untuk mengemukakan nama-nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong terus kekal.
Berucap pada makan malam Majlis Peguam Malaysia di sini yang dihadiri oleh lebih 500 peguam, beliau turut mengumumkan langkah kerajaan menyemak terma perkhidmatan dan gaji hakim-hakim serta bayaran ex-gratia sebagai penghargaan kepada enam hakim yang terbabit dalam krisis badan kehakiman pada 1988.
Beliau berkata, semakan itu perlu memandangkan wujudnya permintaan dan keperluan mendesak untuk meletakkan jawatan kehakiman pada tangga yang sepatutnya bagi memastikan ia mampu menarik serta mengekalkan bakat yang terbaik.
Perdana Menteri menjelaskan, bayaran ex-gratia itu akan diberikan kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Salleh Abas dan bekas Hakim Mahkamah Agung, Datuk George Seah dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh yang dipecat daripada jawatan, 20 tahun lalu.
Bayaran ex-gratia itu juga katanya, akan dibayar kepada Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh.
‘‘Kerajaan mahu mengiktiraf sumbangan enam hakim ini kepada negara, komitmen mereka menegakkan keadilan dan mengakui penderitaan serta kesengsaraan yang mereka lalui.
“Walaupun pengiktirafan ini terlewat 20 tahun, ia dibuat dengan penuh harapan bahawa kesengsaraan dan kehilangan itu masih boleh sembuh,” katanya dalam ucaptama itu yang bertajuk Delivering Justice, Renewing Trust.
Bayaran kepada Eusoffe dan Wan Suleiman yang telah meninggal dunia akan dibuat kepada waris dan ahli keluarga mereka.
Majlis makan malam itu turut dihadiri Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai.
Turut hadir ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.
Salleh dan isteri turut hadir manakala Eusoffe diwakili cucunya, Brenda Lim dan Wan Suleiman oleh balunya, Puan Sri Siti Nurhayati dan anaknya, Wan Noor Azli.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak mengandaikan bayaran yang diberikan kerajaan itu setimpal dengan sumbangan para hakim tersebut tetapi berharap ia diterima sebagai tanda membetulkan kesilapan yang berlaku.
Walaupun legasi 1988 masih menghantui negara sehingga ke hari ini, beliau menyeru semua pihak, baik peguam mahupun rakyat untuk meneruskan perjalanan dengan melakukan pembaharuan.
‘‘Secara peribadi, saya melihat krisis 1988 tidak pernah sembuh sepenuhnya. Sekali lagi, marilah kita meneruskan hidup. Tidak bijak untuk mengungkit perkara lama. Rakyat mahukan perubahan dan kemajuan,” katanya.
Abdullah berkata, kerajaan telah memulakan langkah penting ke arah pembaharuan dan pihak yang berkenaan - kehakiman, peguam, masyarakat sivil dan orang awam - kini perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu perubahan itu.
‘‘Marilah kita bersama-sama menulis bab baru ini,” katanya.
Mengenai penubuhan suruhanjaya itu, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan mencadangkan perubahan tersebut bagi menjadikan proses menamakan calon, pelantikan dan kenaikan pangkat lebih telus serta berperwakilan.
“Proses untuk membawa perubahan ini akan bermula sekarang dan saya memberi jaminan kepada anda semua di sini hari ini, bahawa rundingan mengenai fungsi dan struktur suruhanjaya itu akan membabitkan pihak berkepentingan yang utama.
“Semua pihak akan mempunyai peluang untuk menyediakan input mereka kepada kerajaan,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment