Monday, April 7, 2008

Kisah Sufiah Yusuf




Rencana ini dipetik daripada Utusan Malaysia Online.


Mendidik anak jadikan rintihan emosi Sufiah teladan

BUKAN mudah sebenarnya untuk menjadi Sufiah Yusuf - pelajar paling muda yang diterima masuk ke Universiti Oxford, ketika berusia 13 tahun. Sufiah perlu berada dalam dua dunia dan emosi yang berbeza pada masa yang sama.

Pada usia semuda 12 tahun lagi, beliau memiliki kepandaian matematik setanding pelajar universiti, sedangkan emosinya adalah emosi kanak-kanak yang baru mengenal erti remaja.

Kehidupan sosial remaja gadis sunti ini juga tidak seperti gadis seusianya.

Ketika rakan-rakan seusianya girang berkongsi kegembiraan bersama rakan-rakan sekelas di alam persekolahan, Sufiah tekun belajar di 'sekolah' ciptaan bapanya bersama abang Ishak Ibrahim, 15, dan kakaknya Noraisya, 14, di rumah.

Bapanya, Farooq Yusuf dan ibunya Halimahton Yusuf menjadi guru sepenuh masa di 'sekolah' khas ciptaan mereka.

Rumah adalah sekolahnya dan sekolah adalah rumahnya.

Sufiah hanya berkesempatan berasa alam persekolahan selama beberapa bulan ketika usianya tujuh tahun.

Sistem persekolahan yang tidak setanding dengan kepandaian luar biasa Sufiah menyebabkan ibu dan bapanya menyekolahkan sendiri anak-anak mereka.

Setelah itu, dunia Sufiah dan keluarganya hanyalah di rumah dan sekali sekala bertemu dengan orang luar ketika bermain tenis.

''Emosi anak-anak kami stabil,'' kata ibunya, Halimahton kepada media dua tahun lalu, ketika ditanya mengenai kemungkinan Sufiah mengalami masalah psikologi apabila dewasa kelak.

Bagaimanapun e-mel Sufiah kepada kakaknya, Noraisya, setelah menghilangkan diri dari kolejnya baru-baru ini mengejutkan ibu bapanya.

Sufiah mendedahkan betapa emosi dan fizikalnya terseksa sejak 15 tahun lalu.

Lebih mengejutkan lagi, beliau lebih rela diletakkan di bawah tanggungjawab pekerja sosial daripada pulang ke pangkuan keluarganya.

Gadis sunti yang sebelum ini menurut ibu bapanya tidak gemarkan muzik pop, mendedahkan betapa dia mahu menjalani kehidupan di bandar raya dan menempuh hidup penuh glamor.

Demi menyelamatkan maruah, ibu bapa Sufiah menjadikan pengaruh pihak ketiga sebagai kambing hitam dalam mengaitkan perubahan ketara anak kesayangan mereka itu.

Faktor pengaruh luar tidak dapat ditolak.

Malah, pengaruh itu sebenarnya lebih mudah 'menjangkiti' Sufiah yang sebelum ini hanya bermasyarakat dengan ahli keluarganya sahaja.

Ditambah dengan usia mudanya, Sufiah pastinya mengalami masalah menyesuaikan diri dengan mereka yang jauh lebih dewasa daripadanya.

Kes Sufiah sebenarnya memberi pengajaran kepada kebanyakan ibu bapa di negara ini yang semakin ramai dijangkiti sindrom mendidik anak-anak ala Farooq Yusuf dan Halimahton Yusuf .

Kini bagi keluarga yang mampu, terutamanya kanak-kanak seawal usia dua tahun sudah dihantar ke kelas-kelas pembelajaran khas untuk 'memaksa' anak-anak ini menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis (3M) pada usia yang awal.

Pencapaian luar biasa anak-anak ini untuk menguasai 3M pada usia seawal mungkin, menjadi pertaruhan untuk menaikkan ego ibu bapa di dalam masyarakat.

Malah keegoan sesetengah ibu bapa yang berjaya membentuk klon-klon Sufiah ini menjadikan mereka angkuh dan seterusnya merendah-rendahkan kurikulum dan sistem pendidikan negara.

Tanpa memikirkan pelajar-pelajar lain yang tidak sepandai anak mereka, mereka memperlecehkan kurikulum pendidikan sekolah yang sedia ada dan menurut mereka perlu dirombak.

Langkah Kementerian Pendidikan memperkenal sistem lompat kelas dari tahun tiga terus ke tahun lima bagi mengiktiraf pelajar istimewa ini masih belum memuaskan hati mereka.

Mereka mahu anak-anak mereka yang luar biasa kepandaiannya ini dilayan dengan lebih istimewa.

Mereka menuntut anak-anak yang luar biasa ini dimasukkan terus ke tahap dua (tahun empat, lima dan enam).

Kesimpulannya, keluarga yang ghairah ini mahu keseluruhan sistem pendidikan dan kurikulum diubah semata-mata untuk memenuhi kehendak anak-anak mereka yang 'luar biasa' itu.

Kes Sufiah ini sebenarnya perlu dijadikan pengajaran kepada kita, khususnya kepada ibu bapa supaya tidak keterlaluan dalam merancang masa depan anak-anak.

Memaksa mereka menjadi dan berfikiran dewasa dalam usia muda akan membentuk personaliti dan emosi yang tidak seimbang yang akhirnya akan menyebabkan mereka memberontak.

Walaupun punca Sufiah meninggalkan keluarganya masih belum benar-benar dipastikan, kita seharusnya sudah boleh mengambil sedikit iktibar dan pengajaran daripada apa yang dirasai oleh Sufiah.

Masa kanak-kanak dan remaja hanya sekali dan jangka masa kehadirannya juga begitu singkat.

Berikan sedikit ruang kepada anak-anak ini untuk menikmati dan merasai keindahan zaman itu.

Oleh: ZALINA YAHAYA

No comments: