Monday, August 25, 2008

Hmmm....

Masa mula-mula saya menulis, tidak pernah terlintas yang saya akan mempunyai novel sendiri yang akan diterbitkan dan dijual di kedai-kedai buku. Saya dulu hanya menulis untuk mengisi lapang dan ingin menzahirkan anganan yang seringkali bermain-main di fikiran saya. Tetapi takdir ALLAH...tiada siapa yang dapat menduga. Kini saya telah mempunyai 4 buah novel sendiri. Puas hati? Rasanya belum lagi. Nama saya masih tidak se "gah" penulis-penulis yang sedia ada yang telah lebih dahulu bertakhta di hati peminat-peminat novel. Saya mengukur baju di badan sendiri.....masih banyak lagi yang saya perlu pelajari. Sokongan dari kawan-kawan dan keluarga yang berpanjangan membuatkan semangat saya tetap kuat untuk menulis walaupun kebelakangan ini saya rasakan masa untuk menulis sangat terhad. Memang masa amat mencemburui saya.

Sudah lama sebenarnya saya tidak menulis kerana saya masih tidak dapat mencari masa yang membolehkan saya duduk dengan tenang dan agak lama di hadapan komputer. Kesibukan masa juga menyebabkan saya tidak dapat berfikir dengan tenang dan membuat kajian-kajian lebih lanjut untuk novel-novel saya yang selanjutnya. Adakah masalah ini akan membuatkan saya mengucapkan selamat tinggal pada dunia penulisan? Hmmm.......saya harap tidak kerana menulis adalah minat dan hobi yang telah lama subur di dalam hati saya. Menulis adalah salah satu luahan hati yang boleh menenangkan perasaan saya. Walau bagaimana sukar pun, saya tetap akan berusaha untuk menulis dan menyiapkan cerita-cerita saya....InsyaALLAH....

Buat suami tercinta...thanks a lot.

No comments: