Friday, February 29, 2008

PELUANG TERAKHIR

Bangun!!!!!!! Kedengaran suara garau seorang lelaki memberi arahan kepada semua orang yang berada di dalam Mahkamah Terbuka itu. Semua mata memandang ke hadapan. Derapan kaki kedengaran masuk ke tempat di mana Tuan Hakim akan keluar. Mata mereka tepat memandang ke arah seorang lelaki berbadan tegap berpakain serba hitam dan putih. Tuan Hakim menundukkan kepala kepada semua yang berada di situ, lalu balasan diterima daripada mereka di atas kelakukan yang sama.
Apabila Tuan Hakim melabuhkan punggungnya di kerusi empuk, orang ramai yang lain juga turut duduk di atas kerusi kayu yang keras dan licin.
“Kes bernombor 83-233-2005, Mazlan bin Kassim….” Suara nyaring jurubahasa berbangsa Cina kedengaran cukup jelas di ruang mahkamah yang sepi itu.
Mazlan terkejut apabila namanya dipanggil tiba-tiba. Dia terus bangun lalu berdiri tegak memandang ke arah Tuan Hakim.
Jurubahasa muda berbangsa Cina berjalan menghampirinya dengan sekeping kertas di tangan.
“Mazlan bin Kassim, bahawa kamu pada 12 haribulan Jun, 2005, jam lebih kurang 5.30 petang, di Jalan Lapangan Terbang, Kampung Melayu, Ipoh telah melakukan kecurian iaitu meragut satu beg tangan berwarna hitam yang mengandungi wang tunai RM200-00, satu talipon bimbit, kad kredit dan sebentuk cincin berwarna emas daripada seorang perempuan bernama Mazlina binti Mazlan, iaitu satu kesalahan yang boleh dituduh dan dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Adakah kamu faham pertuduhan yang dibacakan?”
Mazlan mengangguk kepala.
“Adakah kamu mahu mengaku salah atau meminta untuk dibicarakan?” jurubahasa Cina bertanya lagi.
“Saya mengaku bersalah,” Mazlan menjawab.
“Baiklah, jika kamu mengaku salah, maka kamu akan terus dijatuhkan hukuman dan tidak akan dibicarakan. Adakah kamu faham?” jurubahasa Cina bertanya lagi.
“Ya, saya faham,” Mazlan menjawab.
Tuan Hakim mencatitkan pengakuan bersalah Mazlan di atas kertas pertuduhan. Pandangan Tuan Hakim terhadap Mazlan tidak langsung menunjukkan sebarang riak atau perasaan. Mungkin baginya kesemua pesalah ini adalah sama setiap hari, dihadapkan ke mahkamah, diambil pengakuan mereka dan seterusnya dijatuhkan hukuman.
Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan barang-barang kes iaitu barang-barang yang telah diragut oleh Mazlan daripada mangsa tersebut. Mazlan mengakui kebenaran barang-barang kes tersebut, lalu dia disabitkan bersalah.
“Baiklah, sebelum Mahkamah ini menjatuhkan hukuman ke atas kamu, adakah apa-apa rayuan yang kamu ingin kemukakan?” Tuan Hakim bertanya.
Mazlan terasa dirinya kecil. Entah kenapa kesalahannya kali ini telah menimbulkan satu keinsafan dan kekesalan yang amat besar atas dirinya.
“Assalamualaikum Tuan Hakim. Saya sedar saya telah melakukan banyak kesalahan sebelum ini dan saya percaya tidak ada sesiapa pun yang akan percaya jika saya katakan bahawa saya telah insaf dan menyesal kali ini jika melihat kepada rekod sabitan lampau saya. Saya akui saya memang seorang yang jahat, tetapi kali ini saya benar-benar insaf…….,” tiba di situ Mazlan tidak dapat meneruskan kata-katanya.
Air mata yang ditahan mengalir menuruni pipinya yang telah berkedut-kedut. Kalau dulu apabila memangis air mata akan laju menuruni pipinya, tetapi kali ini, air mata itu perlu melalui lapis-lapis kedut yang semakin ketara di tulang pipinya.
“Tuan Hakim, saya telah menjalani hidup yang penuh dosa sejak saya berumur 28 tahun lagi. Akibat ketagihan dadah yang serius, saya telah melakukan kesalahan mencuri sehingga telah dipenjarakan. Semasa itu saya terpaksa meninggalkan isteri yang sedang mengandung lapan bulan. Saya telah dipenjarakan selama tujuh bulan di atas kesalahan saya. Apabila saya keluar dari penjara, saya tidak dapat mencari isteri dan anak saya. Saya kecewa menyebabkan saya mencari dadah semula untuk menghilangkan masalah saya dan akhirnya saya semakin jauh terlibat dengan jenayah sehinggalah sekarang……..” sedu Mazlan semakin kuat kedengaran.
Tuan Hakim masih setia mendengar rayuan daripada Mazlan memandangkan setiap Orang Yang Dituduh di Mahkamah memang diberi peluang untuk mengemukakan rayuan mereka sebelum hukuman dijatuhkan.
“Tuan Hakim, pada 12.6.2005, iaitu pada hari saya ditangkap untuk kes ini, saya mengaku saya telah meragut beg tangan seorang perempuan kerana saya memerlukan duit untuk membeli dadah. Tuan, semasa berada di dalam tahanan reman dan semasa kawad cam diadakan, ibu perempuan itu telah hadir bersama menemani anaknya. Perempuan itu bukan sahaja telah dapat mengecam saya sebagai peragut beg tangannya, tetapi dalam masa yang sama ibunya telah mengecam saya sebagai bekas suaminya yang telah dijatuhkan hukuman penjara semasa dia mengandung lapan bulan, dan…dan…mangsa dalam kes ini sebenarnya….sebenarnya adalah anak saya yang saya cari selama ini iaitu Mazlina bte Mazlan………” tiba di situ sendu Mazlan semakin kuat. Air matanya semakin lebat. Dia hilang malu pada orang di sekelilingnya.
“Tuan….., perempuan muda yang saya ragut beg tangannya itu sebenarnya adalah anak yang saya cari selama ini. Saya dah tua tuan….umur saya sudah 55 tahun. Saya menghidap sakit jantung dan darah tinggi. Saya minta tuan beri saya peluang untuk saya habiskan sisa-sisa hidup saya dengan anak saya. Saya insaf. Saya telah jumpa dengan anak saya…saya minta agar tuan benarkan saya habiskan sisa-sisa hidup saya dengan anak saya…tolonglah tuan…tolonglah saya…..,” Mazlan merayu.
Tuan Hakim yang setia mendengar rayuan Mazlan terdiam. Cerita Mazlan terlalu sedih untuk didengar. Cerita ini lain daripada rayuan yang pernah dikemukakan oleh banduan-banduan sebelum ini. Tuan Hakim cuba mentafsir perasaan Mazlan. Jujurkah dia atau hanya satu lakonan untuk melepaskan diri semata-mata.
“Mazlan….awak ingin Mahkamah memberi awak peluang untuk awak menghabiskan hidup awak dengan anak awak, tetapi persoalannya, adakah anak awak sanggup menerima awak dalam keadaan begini?” Tuan Hakim bertanya.
“Tuan…saya tahu saya tidak layak untuk meminta dia menyayangi saya memandangkan saya tidak membesarkan dia. Tetapi saya memang mencari dia selama ini, tapi semua orang yang saya tanya, malah keluarga isteri saya juga tidak mahu lagi saya berjumpa dengan isteri dan anak saya, saya sedih Tuan, saya sedih….walaupun saya jahat tapi saya masih ada perasaan sayang pada anak saya sendiri….,”
“Adakah mangsa, Mazlina binti Mazlan hadir pada hari ini di Mahkamah?” Tuan Hakim bertanya kepada Pegawai Pendakwa.
Ketua Inspektor Rahman bangun lalu memanggil nama mangsa tersebut.
“Mazlina binti Mazlan……,”
Dari celah orang ramai yang duduk di barisan belakang di tempat duduk orang awam, keluar seorang wanita bertubuh kecil, berbaju kurung dan bertudung kepala berjalan ke hadapan. Mata wanita itu berair dan kemerahan. Ia menjadi bukti kepada hati yang tersentuh dengan cerita tersebut.
“Siapa nama awak?” Tuan Hakim bertanya.
“Mazlina binti Mazlan” wanita itu menjawab.
“Awak kenal lelaki di dalam kandang salah itu?” Tuan Hakim menunjuk ke arah Mazlan yang tunduk memandang ke lantai.
Mazlina mengangguk.
“Apakah hubungan awak dengan dia?” Tuan Hakim bertanya lagi.
“Dia…dia adalah ayah saya….,” dalam sendu yang cukup syahdu, Mazlina mengakui kenyataan tersebut.
“Cik Mazlina, awak telah mendengar sendiri dari mulut Mazlan kan apa yang hendak dikatakannya. Adakah awak sanggup menerimanya kembali?” Tuan Hakim bertanya lagi.
“Tuan….., kalau benar dia telah insaf dengan kesalahan dia, saya sanggup memaafkan dia. Lagipun……bulan depan adalah hari raya. Ibu saya baru saja meninggal dunia pada bulan lepas, dan…dan saya tidak mahu menyambut hari raya ini seorang diri. Jika Tuan izinkan….berilah juga peluang kepada saya untuk menyambut hari raya tahun ini bersama bapa saya buat pertama kalinya……,” ucapan Mazlina sungguh menyentuh hati. Ruangan Mahkamah semakin sunyi dan sepi seolah-olah turut bersedih dengan cerita dua beranak yang telah lama terpisah ini.
“Baiklah, Mahkamah tangguhkan sebentar persidangan Mahkamah ini untuk Mahkamah membuat keputusan,” Tuan Hakim bangun lalu melangkah keluar dari Mahkamah terbuka.
Mazlan terduduk di kerusi kayu yang keras. Berita kematian isterinya semakin membuatkan dia tersiksa. Dia belum sempat memohon maaf daripada Suria di atas segala kesulitan yang telah ditimbulkannya terhadap isterinya itu. Air mata Mazlan mengalir laju. Ternyata perkahwinan yang ditentang oleh keluarga Suria ini banyak mengundang nestapa di dalam hidup mereka. Memang benar kata-kata yang dilemparkan oleh keluarga Suria terhadapnya. Cinta sahaja tidak cukup untuk membina sebuah rumahtanggga yang bahagia. Cinta sahaja tidak mampu mengenyangkan perut yang lapar, cinta sahaja tidak mampu memanaskan tubuh yang kesejukan di malam hari. Semuanya memerlukan wang. Tetapi apalah yang ada pada diri Mazlan yang hanya berpelajaran setakat Tingkatan Tiga dan hanya bekerja buruh kasar di tapak pembinaan.
Pada mulanya, Mazlan telah mengambil dadah hanya sebagai penahan dan penambah tenaga dirinya yang bekerja di panas terik, tetapi lama kelamaan dia semakin jauh tersasar lalu menjadi penagih sehinggalah sekarang.
“Bangunnnnn!!!!!” sekali lagi suara polis yang sama memberi arahan agar semua orang bangun. Mazlan cepat-cepat mengelap air matanya. Tangan yang bergari terasa sakit, namun apa dayanya untuk meminta ia dibuka.
“Baiklah, Mazlan bin Kassim. Setelah Mahkamah mengambil kira pengakuan salah awak yang telah menjimatkan masa dan kos Mahkamah sekiranya satu perbicaraan dijalankan dan setelah Mahkamah mendengar rayuan yang dikemukakan oleh awak, Mahkamah berpuas hati bahawa awak telah cukup insaf dengan kesalahan yang dilakukan. Walaubagaimanapun, demi pengajaran dan hukuman bukan sahaja kepada awak tetapi juga kepada bakal-bakal pesalah yang lain, awak dikenakan hukuman penjara selama 40 hari dari tarikh di tangkap. Dan Mahkamah berharap kesalahan ini benar-benar memberi keinsafan kepada awak seperti yang awak katakan kepada Mahkamah ini,”
Mazlan meraup wajahnya dengan tapak tangan tanda bersyukur dengan keputusan yang dijatuhkan oleh Mahkamah. Inilah kali pertama dia merasakan terlalu takut untuk dipenjarakan. Berbeza dengan kesalahan-kesalahan yang lepas, dia memang menunggu saat-saat untuk dipenjarakan semula kerana dia merasakan lebih kenyang dan lebih selamat berada di dalam penjara daripada menghirup udara segar di luar.
Setelah kesnya selesai, Mazlan di bawa keluar dari Mahkamah. Mazlan mencari bayangan wajah Mazlina, anak perempuan yang sering dirinduinya.
“Ayah….” Tiba-tiba di belakangnya kedengaran satu suara yang cukup lembut memanggilnya. Mazlan memejamkan matanya. Hatinya cukup sayu. Betapa dia cukup merindui untuk mendengar panggilan “ayah” daripada mulut anaknya sendiri.
“Ayah…..., Maz akan tunggu ayah keluar. Maz nak beraya dengan ayah tahun ni…..,” Mazliana memegang tangan Mazlan lalu menciumnya.
Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja Mazlan merangkul tubuh Mazlina ke dalam pelukannya namun tangannya bergari. Dia tidak berdaya. Dia hanya mampu melihat Mazlina melangkah pergi lalu menghilang di sebalik bangunan Mahkamah.
************************************************
“YA ALLAH, sungguh besar RahmatMu. Di kala aku terumbang ambing di dalam dunia ini, KAU menemukan aku semula dengan anakku. Aku bersyukur dan bertaubat di atas segala kesalahanku YA ALLAH. Ampunilah dosa-dosaku…..,” Mazlan mengaminkan doanya di malam itu selepas selesai melakukan solat Isyak. Hatinya berasa tenang. Sudah lama dia tidak berasa setenang ini, mungkin juga kerana bulan ini adalah bulan Ramadhan iaitu bulan yang sungguh mulia dan berkat. Dan buat pertama kalinya sejak 30 tahun yang lepas, dia mula berpuasa semula. Dia turut bersama banduan-banduan lain berbuka puasa dan mengerjakan solat Tarawih. Setiap kali Imam membacakan doa, dia akan menangis. Hatinya terlalu sedih dengan setiap dosa yang telah dilakukannya sebelum ini.
*******************************************************
Kini 40 hari telah berlalu. Di hadapan Mazlan adalah dunia bebas yang sering dirinduinya. Dia telah dibebaskan setelah menjalani hukuman di atas kesalahan ragut tempohari. Mata Mazlan melilau memerhati sekeliling. Dia mencari kelibat Mazlina yang berjanji akan menjemputnya. Esok umat Islam akan menyambut Hari Raya. Pada tahun ini dia tidak sabar mahu meraikan Hari Raya buat pertama kalinya dengan Mazlina.
Tiba-tiba sebuah kereta Proton Wira berwarna merah berhenti di depannya. Mazlina keluar mendapatkannya. Tangannya disalami dan dicium.
“Mari ayah. Kita balik rumah,” Mazlina menarik tangan Mazlan masuk ke kereta.
Entah mengapa soalan-soalan yang begitu banyak berlegar di fikirannya sebentar tadi seolah-olah hilang begitu sahaja. Mereka berdua diam membisu sehinggalah kereta berhenti di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat.
“Masuk ayah. Ini rumah Maz. Rumah ni Maz beli. Ayah boleh tinggal di sini sampai bila-bila. Anggaplah ini rumah ayah sendiri. Ayah berehat dulu,”
Mazlina membawa beg Mazlan ke dalam sebuah bilik yang berada di tingkat atas. Mazlan duduk bersandar di kerusi di ruang tamu. Tidak pernah seumur hidupnya dia bermimpi untuk duduk di dalam rumah sebegini. Selama ini rumahnya hanyalah bilik kecil yang dikelilingi jeriji besi.

“Allah…HuAkbar Allah…Hu Akbar Allah….Hu Akbar…
La…Ila…Ha Illallah….Huallah….Huakbar,
Allah…Hu Akbar Walilla….Ilham…..”

Mazlan membuka matanya perlahan-lahan. Telinganya menangkap takbir raya yang sayup-sayup kedengaran dari masjid berhampiran. Mazlan terpandang sepasang baju Melayu berwarna putih tergantung di pintu almari. Mungkin Mazlina meletakkannya di situ semasa dia sudah tidur malam tadi, fikirnya. Tetapi kenapa Mazlina memilih warna putih? Tidakkah di hari raya ini warna yang lebih terang dan cerah akan melambangkan kegembiraan si pemakai?
Mazlan bangun dari katil. Dia membuka pintu bilik. Jam di tangan telah menunjukkan pukul 7.00 pagi. Rumah ini terasa begitu sunyi. Perasaan Mazlan terasa berdebar. Dia melihat pintu bilik Mazlina masih tertutup.
“Maz! Maz!” Mazlan mengetuk pintu bilik Mazlina, cuba mengejutkannya sekiranya dia masih tidur. Tiada jawapan. Mazlan memulas tombol pintu.
“Ya ALLAH! Mazlina!,” Mazlan terus mendapatkan Mazlina yang terbaring di atas sejadah dengan mulutnya mengalir darah merah yang pekat. Dia memangku kepala Mazlina. Telekung yang masih tersarung di tubuh Mazlina ditanggalkannya.
“Maz, anakku. Kenapa ni Maz? Maz….,” Mazlan menggoyangkan badan Mazlina yang terkulai layu. Dengan pantas Mazlan terus mengambil air lalu menyapu wajah Mazlina yang kepucatan.
Perlahan-lahan penuh kepayahan Mazlina membuka matanya. Tiba-tiba dia terbatuk lalu darah merah menyembur keluar dari mulutnya.
“A….yah…..Selamat Hari Raya. Ampunkan dosa-dosa Maz…….Maz gembira ….se..sebab dapat sambut raya dengan a…yah….,” leher Mazlina terkulai layu. Terputuslah sudah hubungan Mazlina dengan dunia ini.
“Mazzzzz!!!!!!!!,” jeritan Mazlan bergema bersama takbir raya di pagi Syawal itu.
Di atas katil, satu surat peninggalan Mazlina di baca oleh Mazlan dalam tangisan yang tidak putus-putus.

“Ayah, maafkan Maz kerana hanya dapat meluangkan masa yang amat sedikit untuk ayah. Walaubagaimanapun Maz gembira kerana dapat bersama ayah merayakan Hari Raya ini walaupun seketika. Selamat Hari Raya ayah. Semua harta kepunyaan Maz, Maz serahkan kepada ayah. Maz harap ayah berpeluang untuk menikmati kehidupan yang lebih baik selepas ini. Maafkan Maz sebab merahsiakan bahawa Maz selama ini menghidap kanser darah. Maz meminta untuk keluar dari hospital agar dapat berhari raya dengan ayah pada hari ini. Maz sayangkan ayah….,”

Mazlan meraung kesedihan lalu memeluk tubuh Mazlina yang telah tidak bernyawa. Hatinya semakin sayu kerana dia hanya berpeluang memeluk tubuh Mazlina hanya apabila roh Mazlina telah meninggalkan jasad. Dan kini barulah dia faham kenapa Mazlina menyediakannya sepasang baju melayu berwarna putih.
“Mazlina………maafkan ayah…….maafkan ayah nak…….,” Mazlan merintih.

PENCARIAN ADLEENA



Ini adalah novel ketiga saya dan diterbitkan oleh Tintarona.

Sinopsis belakang buku:

Adleena terpaksa akur dengan janji yang telah dipersetujuinya bersama Faizal yang telah berpakat dengan emaknya. Tempoh enam bulan untuk mencari calon suami telah berakhir.
Dalam keadaan marah kepada Shameer, Adleena telah bersetuju menerima sebarang pinangan. Namun setelah Adleena bertunang, Shameer meluahkan perasaannya. Cerita tentang hubungan cinta Shameer dengan Hazlina ternyata hanyalah suatu salah faham dan hal ini membuatkan Adleena berada dalam dilema.

SAAT MENCINTAIMU


Ini adalah novel kedua saya. Terbitan NHF Media. Ia mengandungi kisah cinta, semangat untuk menang dan perubahan diri serta penuh dengan emosi.
Sinopsis:
Ia mengisahkan mengenai Azwan, seorang lelaki yang agak nakal. Walaupun bijak dalam pelajaran namun dia lebih gemar melepak bersama-sama rakan sekampung. Suatu hari akibat perselisihan faham dengan rakan-rakannya, dia telah disabotaj. Dia telah ditangkap polis dan dituduh di mahkamah kerana mencuri besi di sebuah kilang.
Oleh kerana dia memang tidak bersalah, Azwan nekad untuk mempertahankan dirinya sendiri di mahkamah. Azwan belajar mengenai perundangan dan duduk di mahkamah untuk belajar bagaimana caranya untuk membela kes di mahkamah. Tidak disangka, peristiwa ini telah menemukannya dengan Shazliana yang bekerja di mahkamah tersebut.
Lama kelamaan perasaan sayang timbul di hati Azwan tetapi Shazliana menolak memandangkan dia akan bertunang dengan Hasbullah, teman sekampungnya atas permintaan keluarga.
Azwan kecewa dan setelah dia menang di dalam kesnya, Azwan nekad membawa diri ke India dan belajar undang-undang.
Empat tahun berlalu, Azwan telah berjaya menjadi seorang peguam dan takdir menemukan mereka semula di Kuala Lumpur. Rupanya berbagai peristiwa telah berlaku sepanjang tempoh empat tahun itu. Azwan yang baru berkenalan dengan Laila, tidak tahu bahawa Laila adalah adik Shazliana. Laila menaruh hati pada Azwan sedangkan Azwan masih lagi menyayangi Shazliana. Bagaimana kesudahan hubungan Azwan dan Shazliana?

INDAHNYA KEMAAFAN

Sinopsis:
Ia mengisahkan mengenai Faris, yang jatuh cinta kepada Farah yang merupakan seorang anak yatim yang menetap di Asrama Budi di Kuala Kangsar. Pertemuan pertama telah membenihkan bibit-bibit cinta di hati Faris namun Farah ragu-ragu memandangkan status mereka yang amat berbeza. Faris anak orang kaya di mana ayahnya mempunyai sebuah kilang di Kuala Kangsar sedangkan dia seorang anak yatim yang tidak mempunyai keluarga dan harta. Namun pujukan dan keikhlasan hati Faris telah membuka hati Farah. Kerana tahu bahawa ibunya pasti akan menentang, Faris dan Farah telah bernikah di Thailand secara rahsia.
Akibat serangan jantung, bapa Faris meninggal dunia secara mengejut. Kematian itu juga telah menyebabkan banyak rahsia yang terbongkar dan Datin Suhaibah telah memberi kata dua kepada Faris. Faris dalam dilema antara Farah dan ibunya. Apakah yang terjadi seterusnya? Jawapannya ada di dalam buku ini.