Thursday, April 24, 2008

Menanti Novel Baru

Hari demi hari saya menunggu. Tidak sabar rasanya menanti kelahiran baby baru yang ke-4. Diharap yang ke-4 ini akan membawa perubahan besar pada diri saya sejak bergelar sebagai penulis novel. Ya....baby baru ni, insyaALLAH akan diterbitkan oleh Alaf 21. Harap-harap segera berada di kedai-kedai buku.

Kepada kawan-kawan, pembaca yang telah membaca novel-novel saya yang sebelum ini, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan. Tolong doakan saya agar saya mempunyai banyak lagi idea-idea yang boleh digubah dan diolah menjadi satu cerita yang menarik untuk dibaca.

Friday, April 18, 2008

PENUBUHAN SURUHANJAYA UNTUK MELANTIK HAKIM

Suruhanjaya ditubuh - Bagi kenal pasti, cadang nama calon hakim – PM
Oleh AMIRUDDIN HARUN dan NOR ZAINAH NORDIN



Abdullah Ahmad Badawi bersalaman dengan Tun Salleh Abas pada Majlis Makan Malam Badan-Badan Peguam di Kuala Lumpur malam tadi sambil disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad.

KUALA LUMPUR 17 April - Kerajaan mengumumkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman untuk mengenal pasti dan mencadangkan calon-calon hakim kepada Perdana Menteri.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkan perkara itu berkata, suruhanjaya tersebut akan membantu menilai dan menapis calon-calon secara sistematik dan berwibawa berasaskan kepada kriteria yang ditakrifkan dengan jelas.
Bagaimanapun katanya, hak perlembagaan Perdana Menteri untuk mengemukakan nama-nama itu kepada Yang di-Pertuan Agong terus kekal.
Berucap pada makan malam Majlis Peguam Malaysia di sini yang dihadiri oleh lebih 500 peguam, beliau turut mengumumkan langkah kerajaan menyemak terma perkhidmatan dan gaji hakim-hakim serta bayaran ex-gratia sebagai penghargaan kepada enam hakim yang terbabit dalam krisis badan kehakiman pada 1988.
Beliau berkata, semakan itu perlu memandangkan wujudnya permintaan dan keperluan mendesak untuk meletakkan jawatan kehakiman pada tangga yang sepatutnya bagi memastikan ia mampu menarik serta mengekalkan bakat yang terbaik.
Perdana Menteri menjelaskan, bayaran ex-gratia itu akan diberikan kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Salleh Abas dan bekas Hakim Mahkamah Agung, Datuk George Seah dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh yang dipecat daripada jawatan, 20 tahun lalu.
Bayaran ex-gratia itu juga katanya, akan dibayar kepada Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh.
‘‘Kerajaan mahu mengiktiraf sumbangan enam hakim ini kepada negara, komitmen mereka menegakkan keadilan dan mengakui penderitaan serta kesengsaraan yang mereka lalui.
“Walaupun pengiktirafan ini terlewat 20 tahun, ia dibuat dengan penuh harapan bahawa kesengsaraan dan kehilangan itu masih boleh sembuh,” katanya dalam ucaptama itu yang bertajuk Delivering Justice, Renewing Trust.
Bayaran kepada Eusoffe dan Wan Suleiman yang telah meninggal dunia akan dibuat kepada waris dan ahli keluarga mereka.
Majlis makan malam itu turut dihadiri Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai.
Turut hadir ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.
Salleh dan isteri turut hadir manakala Eusoffe diwakili cucunya, Brenda Lim dan Wan Suleiman oleh balunya, Puan Sri Siti Nurhayati dan anaknya, Wan Noor Azli.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak mengandaikan bayaran yang diberikan kerajaan itu setimpal dengan sumbangan para hakim tersebut tetapi berharap ia diterima sebagai tanda membetulkan kesilapan yang berlaku.
Walaupun legasi 1988 masih menghantui negara sehingga ke hari ini, beliau menyeru semua pihak, baik peguam mahupun rakyat untuk meneruskan perjalanan dengan melakukan pembaharuan.
‘‘Secara peribadi, saya melihat krisis 1988 tidak pernah sembuh sepenuhnya. Sekali lagi, marilah kita meneruskan hidup. Tidak bijak untuk mengungkit perkara lama. Rakyat mahukan perubahan dan kemajuan,” katanya.
Abdullah berkata, kerajaan telah memulakan langkah penting ke arah pembaharuan dan pihak yang berkenaan - kehakiman, peguam, masyarakat sivil dan orang awam - kini perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu perubahan itu.
‘‘Marilah kita bersama-sama menulis bab baru ini,” katanya.
Mengenai penubuhan suruhanjaya itu, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan mencadangkan perubahan tersebut bagi menjadikan proses menamakan calon, pelantikan dan kenaikan pangkat lebih telus serta berperwakilan.
“Proses untuk membawa perubahan ini akan bermula sekarang dan saya memberi jaminan kepada anda semua di sini hari ini, bahawa rundingan mengenai fungsi dan struktur suruhanjaya itu akan membabitkan pihak berkepentingan yang utama.
“Semua pihak akan mempunyai peluang untuk menyediakan input mereka kepada kerajaan,” jelasnya.

50 LANGKAH MENJADI SUAMI MITHALI.

- Para isteri pun boleh baca
Langkah Bestari Suami Mithali ( Dato' Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah)
1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari ?

6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.

12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan Penampilan diri sendiri. Mana adil ?

14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan perigatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.

16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera.
17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang menbeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana ?

20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.

27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.

29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

31. Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.

32. Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.

33. Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.

34. Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?
35. Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.

36 Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.

37. Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.

38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.

39. Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.

40. Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

41. Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel unutk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.

42. Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.

43. Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.

44. Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.

45. Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, Pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.

46. Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah, suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.

47. Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

48. Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.

49. Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, Rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.

50. Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas, lakukan riaadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.

Monday, April 14, 2008

KEMBALIKAN KUASA KEHAKIMAN

TINGKAT KREDIBILITI: Raja Dr Nazrin dan Abdul Hamid tiba pada majlis pembukaan Persidangan Tahunan Majlis Hakim Malaysia, di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA: Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah semalam bertitah, suasana sekarang amat sesuai untuk melakukan perubahan dalam badan kehakiman bermula dengan memastikan kuasa kehakiman dikembalikan kepada badan berkenaan. Sehubungan itu, baginda bersetuju supaya ditubuhkan Suruhanjaya Kehakiman untuk membuat perakuan berhubung pelantikan hakim kepada Perdana Menteri yang seterusnya perlu berbincang dengan Persidangan Raja-Raja. "Beta gembira mendapati bahawa sejak beberapa tahun lalu, Perdana Menteri semakin banyak berbincang secara berkesan dengan Persidangan Raja-Raja.
"Ini selaras dengan semangat Perlembagaan dan beta berpendapat ini menyebabkan keyakinan terhadap badan kehakiman semakin bertambah," titah baginda pada Persidangan Hakim-hakim Malaysia di sini. Lebih 90 Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi serta Pesuruhjaya Kehakiman menghadiri persidangan tiga hari itu. Turut hadir, Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zaki Azmi dan Hakim Besar Malaya Datuk Alauddin Mohd Sheriff. Raja Dr Nazrin menegaskan, badan kehakiman mesti sentiasa mempertahankan fungsi dan semangat Perlembagaan Persekutuan tanpa mengorbankan doktrin pengasingan kuasa, Rukun Negara dan kebebasan badan itu sendiri dalam menegakkan sistem keadilan.
"Hakim selaku nadi dalam sistem keadilan dan perundangan negara diberi tanggungjawab besar dalam mentafsir dan mempertahankan undang-undang termasuk Perlembagaan Persekutuan. Sebarang keputusan pentadbiran yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan mampu mengakibatkan undang-undang tertinggi kita itu menjadi tidak relevan. "Hakim perlu sensitif dengan fungsi dan semangat Perlembagaan Persekutuan, iaitu melindungi hak setiap rakyat, bukan saja untuk memastikan keadilan tapi juga bagi mempertahankan integriti negara," titah baginda. Merujuk pelbagai dakwaan salah laku yang melanda badan kehakiman sejak kebelakangan ini, baginda menyifatkannya sebagai zaman kritikal dalam sejarah negara. "Apa yang mendukacitakan mengenai tanggapan rendah terhadap badan kehakiman kita sekarang ialah ia pernah disanjung tinggi. Penghakiman yang dibuat oleh mahkamah kita pernah menjadi sebutan di negara Komanwel. Hakim kita pernah dihormati kerana keputusan yang bijak dan adil.
"Reputasi sebegitu hanya boleh dikekalkan jika standard tinggi yang diamalkan itu dapat dilaksanakan secara konsisten. Namun, ini tidak berlaku. Dalam tempoh 20 tahun lalu, kebebasan dan integriti badan kehakiman terhakis. Akibatnya, berlaku kehilangan keyakinan terhadap sistem kehakiman. "Semua ini adalah titik hitam terhadap maruah dan reputasi kita dan ia berpotensi melemahkan malah menghancurkan negara," titah baginda. Sambil menegaskan Malaysia memerlukan satu 'kebangkitan dalam badan kehakiman', Raja Nazrin bertitah jika pentadbiran sesuatu negara itu tidak baik, pelabur akan mencari negara lain. "Tidak cukup untuk kerajaan sekadar menjanjikan kekayaan, rakyat turut mementingkan kebebasan dan perlindungan. .. daripada rasuah, penindasan," titah baginda. Baginda menegaskan, jalan penyelesaian perlu difikirkan dengan menangani isu secara realistik bagi mengatasi masalah ini supaya badan kehakiman akan lebih kuat di masa depan. Justeru, Mahkamah Persekutuan sendiri perlu mengambil pendekatan lebih terbuka terutama ketika menyemak semula keputusan terdahulu yang mungkin mengakibatkan ketidakadilan. "Tidak boleh dinafikan bahawa ada penghakiman Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mungkin menimbulkan kebimbangan di kalangan pengamal undang-undang dan orang awam. "Jika ada keputusan yang mungkin mengakibatkan berat sebelah kepada mana-mana pihak, ia perlu diperbetulkan di peringkat Mahkamah Persekutuan dan tidak dibiarkan kekal sebagai catatan perundangan kita. "Mencapai keadilan dan membawa perubahan dalam keadaan ketidakadilan adalah perkara induk yang menjadi asas dalam sistem perundangan dan keadilan yang bertamadun," titah baginda. Raja Nazrin bertitah, badan kehakiman perlu dikembalikan statusnya dalam Perlembagaan seperti yang pernah dinikmatinya sejak Merdeka sehinggalah 20 tahun lalu. Jika itu tidak dilakukan, doktrin pengasingan kuasa yang menjadi asas demokrasi di Malaysia, akan terus menjadi lemah. "Kita tidak boleh semata-mata cuba mendapatkan kegemilangan zaman silam tetapi hendaklah berusaha mencapai kejayaan lebih besar. Namun, dalam kita hendak menggapai bintang di langit, kita perlu berpijak di bumi nyata. "Selagi kuasa kehakiman tidak dikembalikan kepada kepada badan kehakiman seperti juga kuasa eksekutif diberi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Kabinet, adalah sukar untuk meyakinkan semua pihak bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang ditadbir mengikut undang-undang," titah baginda.